Friday 14 December 2012

Universiti Deoband




Sejarah Darul Ulum Deoband


Pusat Pendidikan Islam di Deoband iaitu Universiti Deoband mula berputik setelah kejatuhan Dinasti Moghul pada tahun 1857 setelah pihak British menjatuhkan hukuman buang negeri ke Burma ke atas Bahadur Shah Zafar (1775-1862).

Atas semangat ingin meneruskan kesinambungan pendidikan Islam, pada 30 Mei 1866 (15 Muharam 1283 H), satu batu tanda penubuhan sebuah pusat pendidikan Islam telah dilakukan di sebuah masjid kecil di kota Deoband oleh Maulwi Fadlur Rahman, Maulwi Zulfikar Ali dan Maulwi Muhammad Mahmud. Murid pertama yang menimba ilmu di madrasah tersebut ialah Syeikh Hind Maulana Mahmud Al-Hasan dan kemudian pada akhir tahun tersebut jumlah pelajar semakin meningkat iaitu menjadikan bilangan pelajar seramai 78 orang. Pengasas bagi penubuhan Darul Ulum Deoband ialah  Muhammad Qasim Nanotwi (1833-1877). Beliau mengharapkan pelajar-pelajar dan tenaga pengajar yang menuntut di institut tersebut tidak berasa terbeban dengan masalah kewangan tetapi tetap ikhlas dan bertakwa kerana Allah SWT  dalam menuntut ilmu. Kemudian, pada tahun 1877 Muhammad Qasim telah meninggal dan diganti oleh Rashid Ahmed Gangohi (1829- 1905).

Sekitar tahun 1867, Darul Ulum Deoband memulakan pembelajaran di Masjid Chitta dan masjid tersebut tidak mampu menampung bilang pelajar yang semakin bertambah dari semasa ke semasa. Hal ini menyebabkan institut tersebut dipindahkan ke masjid lain di India pada tahun 1874.  Bilangan pelajar semkin meningkat dari tahun ke tahun menyebabkan institut tersebut perlu dibangunkan dengan membina kemudahan-kemudahan seperti bangunan fakulti-fakulti, asrama, dewan kuliah dan sebagainya. Pembinaan bangunan fakulti Hadith dan Tafsir telah selesai pada tahun 1931. Darul Ulum Deoband juga dikenali sebagai Qasim Al-Ulum yang diambil dari nama Muhammad Qasim Nanotwi sebagai pengasas kepada institut tersebut. Seramai seribu lebih pelajar yang menuntut di institut tersebut dan empat ratus pelajar menuntut di asrama yang telah disediakan.

Bermula dengan bentuk pendidikan secara madrasah, perkembangan pusat pendidikan ini telah menjangkau lebih jauh sehingga menjadi pusat pendidikan yang terbesar di India. Darul Ulum juga disifatkan sebagai universiti yang kedua terbesar dalam pengambilan pelajar dengan menggunakan konsep pendidikan yang dilaksanakan oleh Universiti Al-Azhar, Mesir.

Selain itu, beberapa madrasah yang berada di seluruh India menjadi penyumbang terbesar membekalkan pelajar untuk melanjutkan pendidikan tinggi di Darul Ulum. Pusat pengajian Islam yang ditubuhkan oleh Muhamad Qasim Nanautawi ini sebenarnya turut merupakan pusat pendidikan yang menarik minat ramai rakyat Malaysia terutama pada tahun 1960-an dan 1970-an. Kebanyakan mereka adalah lulusan pondok-pondok yang terdapat di seluruh negara. Lulusan Darul Ulum kebanyakannya diterima meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi di Universiti Azhar dan lain-lain pusat pendidikan tinggi Islam di Timur Tengah.

Antara warga Malaysia yang pernah menjadi anak didik di universiti tersebut ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat ; Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, Tan Sri Ibrahim Lembut, Mohd Asri Yusuf (pendakwah), Dr Abdul Hayei Abdul Shukur (bekas Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya), Pengarah Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia iaitu Razali Shahabudin dan Pengarah Pusat Penyelidikan Fiqh Sains dan Teknologi Malaysia iaitu Selamat Hashim. Selain menjadi pusat pendidikan Islam terbesar, Darul Ulum turut dipertanggungjawabkan sebagai badan penyelaras fatwa bagi seluruh negara Islam. Dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut, ulama’ dari seluruh India akan dipanggil membincangkan sesuatu permasalahan sebelum kata sepakat mereka. Seterusnya, dengan kewujudan Darul Ulum, ia dapat menjernihkan salah faham sesetengah penganut Islam mengenai kepelbagaian mazhab yang diterapkan dalam pemikiran umat Islam.


Sistem pendidikan Darul Ulum Deoband

Konsep pengajian di insitut tersebut mewajibkan setiap pelajar mempelajari al-Qur’an dan As-Sunnah terlebih dahulu sebelum boleh membuat pengkhususan dalam bidang-bidang lain. Kini pusat pengajian Darul Ulum yang menjadikan bidang syariah dan tariqat sebagai adunan konsep dan sistem pendidikan menawarkan tahap pengajian asas selama lapan tahun bagi kelas yang menggunakan bahasa Arab. Mereka yang lulus pada peringkat ini, sebenarnya turut khatam Kutub As-Sittah dan Al-Muwatta’ Imam Malik, Musnad Imam Ahmad, Bukhari, Muslim, Ibnu Majah, Tarmizi, Abu Daud, Nasai’e, Mustadrak Al-Hakim dan lain-lain.

Bagi pendidikan fiqh pula, kebanyakan bahan yang dipelajari adalah bersumberkan mazhab Hanafi. Dalam tempoh tersebut, pelajar tidak dibenarkan membuat pengkhususan kerana pihak pengurusan Darul Ulum yakin corak pendidikan umum itulah yang menjadikan pusat pengajian Islam ini terkenal dan mampu melahirkan ramai pemikir yang berpengatahuan luas. Oleh yang demikian, selepas tamat pendidikan di institut tersebut kebanyakan alumninya menyambung pengajian dan pengkhususan di pelbagai universiti di Timur Tengah.

Kurikulum pendidikan Darul Ulum yang diasaskan pada kurun ke-17 menggunakan pendekatan Indo-Islamik dan dikenali sebagai Dars-e-Nizami. Kurikulum ini memberi penekanan teras kepada syariah, fiqh, tasawwuf dengan menjadikan tradisi sufistik dan kajian Islam sebagai kaedah pengajaran dan pembelajaran.


Syarat pendaftaran

Portal dari Darul Ulum Deoband terbuka kepada setiap pelajar yang ingin mendapatkan pengetahuan ilmu-ilmu agama dan bersetuju dengan setiap syarat yang telah ditetapkan oleh institut tersebut serta patuh dengan setiap peraturan yang telah disediakan. Kebiasaannya, pendaftaran pelajar bermula dari minggu kedua bulan Syawal dan berakhir pada akhir minggu ketiga, akan tetapi penerimaan pelajar baru ditutup sedikit lebih awal.
Bagi pelajar baru, mereka akan diletakkan di kelas mengikut kemampuan berdasarkan ujian yang telah dilakukan ke atas mereka dan bukan berdasarkan kelayakan mengikut kursus-kursus yang telah mereka ambil di institut lain. Namun, pelajar yang telah lulus dalam kelas Parsi dan kelas bahasa Arab dikecualikan dari ujian sebagai syarat kemasukan ke institut tersebut. Terdapat dua bentuk penerimaan pelajar, iaitu pelajar baru dengan pelajar lama iaitu pelajar yang pernah belajar di Darul Ulum pada tahun sebelumnya.

Pendafataran  pelajar dari kelas Qur’an dan kelas Parsi ke Darul Ulum akan mendapat kelulusan menerusi  permohonan sahaja manakala pelajar dari kelas Arab perlu menyertakan borang permohonan yang telah dicetak semasa pendaftaran. Dengan mengisi borang permohonan tersebut, pelajar secara langsung telah membuat perjanjian akan menjaga diri dan menuntut ilmu dengan penuh keikhlasan serta mengikuti gaya hidup sebagai seorang pelajar. Dalam institusi tersebut juga, semua orang boleh menuntut ilmu tanpa mengira umur dan pelajar perlu mengelak berlakunya diskriminasi warna kulit, kaum dan status pelajar lain.


Sejarah Terawal Pelajar Malaysia

Para pelajar dari Malaysia merupakan antara yang berada di Darul Ulum sejak sekian lama bagi menuntut ilmu. Para pelajar dari Malaysia berhijrah ke Darul Ulum dengan tujuan untuk mencari ilmu agama yang kukuh dan seterusnya mereka boleh kembali ke tanah air dan memberikan ilmu tersebut kepada umat Islam di Malaysia. Darul Ulum telah disifatkan sebagai universiti yang kedua terbesar dalam pengambilan pelajar dengan menggunakan konsep pendidikan yang dilaksanakan oleh Universiti al-Azhar, Mesir[1]. Atas faktor ini, ramai pelajar dari Malaysia tidak mengira usia telah berhijrah ke institusi ini untuk menuntut ilmu tentang agama Islam.

Pusat pendidikan Darul Ulum ini antara yang telah berjaya menarik minat ramai rakyat Malaysia untuk ke sana terutama sekitar tahun 1960-an dan 1970-an. Kebanyakan mereka adalah lulusan pondok-pondok yang terdapat di seluruh negara juga dari negara jiran. Lulusan Darul Ulum kebanyakannya diterima meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi di Universiti Azhar dan lain-lain pusat pendidikan tinggi Islam di Timur Tengah.


Perkembangan Terkini

Bilangan pelajar yang semakin hari semakin bertambah, membuatkan pihak pentadbiran Darul Ulum telah meneliti beberapa cadangan bagi menambahbaikkan institusi ini dan mencari jalan bagi menampung jumlah pelajar yang kian bertambah.

Beberapa cadangan projek pembinaan bangunan telah dikeluarkan oleh pihak Darul Ulum. Pembinaan bangunan- bangunan ini adalah bagi menampung bilangan pelajar yang semakin bertambah juga memberi keselesaan kepada semua pelajar untuk mencari ilmu. Pihak Darul Ulum juga menyatakan bahawa mereka sedang merancang untuk mewujudkan sebuah perpustakaan yang dilengkapi dengan alatan moden dan canggih.

Seterusnya, antara projek binaan lain yang wujud di Darul Ulum ialah bangunan asrama bagi penempatan para pelajar. Pembinaan asarama ini juga merupakan antara salah satu langkah yang dilakukan oleh pihak Darul Ulum bagi menampung bilangan pelajarnya yang semakin ramai. Asrama ini bertujuan memudahkan para pelajar terutamanya bagi yang datang dari luar dan merantau jauh dapat tinggal di Darul Ulum dalam suasana yang selamat dan selesa. Perpustakaan Darul Mutalaah al-Maktabah al-Qasiniyah ini telah memberi peluang kepada kedua belah pihak untuk cuba menimba pengalaman berhubung kerjasama ilmiah dan peluang perkongsian ilmu mengenai Islam.

Darul Ulum juga merupakan sebuah tempat yang mempunyai fungsi sebagai tempat untuk menyimpan gandum. Darul Ulum juga merupakan satu institusi yang telah membekalkan bekalan gandum dan beras sebanyak 4000 guni setiap tahun. Sebelum ini, bekalan- bekalan ini telah disimpan di dalam kelas. Keadaan ini menimbulkan rasa kurang selesa bagi para pelajar dan menganggu konsentrasi mereka untuk belajar. Faktor ini telah membuatkan pihak Darul Ulum membina sebuah tempat khas bagi menyimpan bekalan- bekalan beras dan gandum tersebut. Kini mereka telah membina sebuah stor yang moden bagi menyimpan bekalan- bekalan beras dan gandum itu dengan selamat.


Latar Belakang Responden

Nama beliau ialah Halim bin Hj Saad. Dilahirkan pada 13 Mei 1949 di Alor Setar, Kedah. Beliau merupakan anak sulung daripada 6 orang adik beradik hasil perkahwinan ayahanda dan bonda beliau iaitu Hj Saad bin Idris dan Hjh Fatimah binti Mustafa. Beliau telah menamatkan zaman bujangnya pada umur 21 tahun bersama pasangan hidupnya Puan Dahlia binti Hj Abu Bakar. Mereka telah dikurniakan 6 cahaya mata iaitu 2 orang lelaki 4 perempuan.  Anak-anaknya semuanya mengikut jejak ayah mereka dengan melanjutkan pelajaran di luar negara.


Latar Belakang Pendidikan

Beliau mendapat penidikan awal di Sekolah Kebangsaan Lepai di Alor Setar Kedah  pada tahun 1956 sehingga tahun 1961. Selepas menamatkan pendidikan di sekolah tersebut, beliau meneruskan pengajian di sekolah pondok Burminiah Islamiyah di Selatan Thai, Patani Thailand. Beliau berada di sana selama 6 tahun.  Setelah tamat di sekolah pondok Thailand, beliau meneruskan pengajiannya di Universiti Darul Ulum, Deuband, India. Dengan berbekalkan ilmu di dada semata-mata,beliau menghadiri temuduga untuk memasuki universiti tersebut. Beliau di temuduga tanpa membawa sijil kerana beliau hanya bersekolah di sekolah pondok sahaja.

Sebelum beliau belajar di Universiti Darul Ulum Deubond India, beliau pernah menuntut selama setahun di sekolah yang terdapat di Madras iaitu Darussalam Umarrabat. Setelah menghabiskan kuliah di Darul Ulum dengan kelulusan B.A dalam bidang hadith, beliau meneruskan perjuangan ilmunya di Mekah dalam bidang Umumi selama setahun. Ini adalah untuk mengikitiraf tahun terakhir beliau d India. Kemudian, beliau meneruskan lagi penjelajahan ilmu beliau di Mesir mengambil B.A dalam bidang Syariah selama setahun. Begitulah kegigihan beliau menuntut ilmu tanpa rasa jemu.


Pengalaman Hidup di Institusi dan di India

Kemasukan beliau ke universiti tersebut bukanlah atas tajaan ataupun bergantung pada mana-mana biasiswa. Akan tetapi, beliau menggunakan dana sendiri sepanjang pengajian di sana memandangkan pengajian ke India tidak mendapat biasiswa daripada Malaysia kerana tidak mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Malaysia. Namun, ada juga rakan-rakan beliau yang lain mendapat zakat daripada negeri masing-masing sehingga mencecah RM7000. Walaupun menghadapi pelbagai rintangan yang terpaksa dilalui semasa di sana, namun beliau tidak menjadikan semua itu sebagai suatu penghalang untuk mencari ilmu di tempat orang. Menurutnya juga, penempatan bagi pelajar Malaysia di sana adalah dengan menyewa rumah yang berdekatan dengan universiti tersebut. Dengan harga yang murah, mereka senang untuk memperolehinya dan boleh menduduki dengan masa yang lama.

            Hidup di negara orang amat berbeza dengan tempat sendiri.  Hampir tiga tahun beliau berada di India untuk menuntut ilmu sebagai bekalan hidup. Kebanyakan orang awam di Malaysia, bila disebut sahaja India, mereka akan terbayang wajah-wajah pelakon Bollywood. Ramai juga akan menyangka India ini seindah yang digambarkan dalam filem-filemnya. Mereka tertipu dengan mainan filem. Namun beliau bukan pergi mencari para pelakon Bollywood, tetapi beliau pergi bertemu, menziarahi dan mengambil manfaat ilmu daripada para ulama hadith yang masih hidup di India. Sebahagian mereka adalah anak-anak kepada tokoh-tokoh pengarang syarah kitab-kitab hadith.

            Menurut beliau juga, pendidikan Islam di sana berkembang sama seperti di Malaysia tetapi pegangan masyarakat mereka adalah berdasarkan mazhab Hanafi. Hal inilah yang menjadi perbezaan dengan masyarakat di Malaysia yang berpegang pada mazhab Syafi’e. Namun, beliau belajar dengan menggunakan keempat-empat mazhab. Di universiti beliau, bahasa yang menjadi bahasa pengantar adalah bahasa urdu. Hal ini menjadi satu cabaran kepada beliau  namun akhirnya dapat menguasai bahasa ini memandangkan beliau seorang yang tabah dalam menuntut ilmu. Semua kitab yang digunakan juga adalah kitab-kitab arab. Kitab hadis mahupun semua rujukan di universiti tersebut adalah sepenuhnya bahasa arab. Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi ilmu bahasa arab sedia ada dalam diri beliau dan pelajar-pelajar lain.

Beliau tidak melihat India seindah yang dipertontonkan di dalam filem-filemnya. Menurutnya, beliau melihat India begitu kotor, miskin dengan puluhan juta penduduknya kelaparan dan tanpa tempat tinggal serta hidup merempat di kiri dan kanan jalan. Ini disebabkan sistem kasta yang mencengkam hidup mereka dan sekaligus menyebabkan kekotoran itu membaluti kota dan manusia. Penipuan juga menjadi mainan lidah dan cara. Adapun yang kaya kemungkinan memang kaya, tetapi kaya di atas kemiskinan ratusan juta manusia. Sementara yang menganggap India seindah filemnya dan ingin sekali menikmati udara India, sebenarnya semua itu adalah hasil propaganda filem semata-mata. Demikianlah media-massa selalu berjaya membohongi mereka yang percaya dengannya.

Menurutnya, orang Islam pernah memerintah India hampir seribu tahun. Pada pandangan beliau, India adalah negeri yang paling sukar untuk Islam berperanan mengikis kesesatan, khurafat dan kekarutan kepercayaan penduduknya. Ini adalah disebabkan banyak faktor. Antaranya peranan kebanyakan pemerintah yang tidak menjalankan tugas dengan baik dan tabiat penduduknya yang begitu cenderung kepada khurafat dan berakar umbi dalam perasaan dan fikirannya. Hinggakan sistem kasta yang dianuti oleh agama Hindu, masih mempengaruhi sebahagian penganuti Islam di India. Ini sama seperti yang berlaku kepada orang melayu dahulu yang dipengaruhi ajaran hindu dan lainnya.

Kemudian apabila datang Islam dan mereka menerima Islam, mereka terus membawa sebahagian ajaran hindu dan khurafatnya, seperti persandingan pengantin, nasi kunyit untuk sesuatu upacara, tepung tawar, percayakan perkara sial dan seumpamanya. Begitulah juga kebanyakan muslimin India. Bahkan lebih jauh daripada itu, banyak kesan-kesan ajaran Hindu dan khurafat yang lain mempengaruhi mereka sehingga menjadi begitu sesat dan ada juga sebahagiannya yang terkeluar daripada daerah Islam kepada daerah kufur.

Pengajian hadis di India juga adalah kuat. Namun begitu, perlu diperingatkan bahawa pada hakikatnya sanad hadith pada zaman ini tidak diperlukan lagi. Para penulis kitab-kitab hadith seperti al-Imam al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasai, Ibn Majah, Ibn Jarud, Ibn Hibban, Ibn Sakan dan lain-lain telah pun menyatakan sanad mereka. Kajian para perawi hanya setakat mereka sahaja. Selepas itu tidak diperlukan lagi. Ulama di India sendiri menganggap pemberian ijazah sekadar suatu cara tradisi dan sekadar mengharapkan keberkatan pertemuan dengan guru sahaja. Malangnya, ada yang begitu dangkal sehingga menganggap seseorang tidak boleh dianggap sebagai tokoh ulama dalam ilmu hadith jika tidak mempunyai sendiri. Inilah adalah satu kejahilan yang amat nyata. Inilah bala bila semua orang cuba mengaku pandai dan mencampuri apa yang bukan urusannya.

Di India beliau tinggal Dar Ulum, Deoband juga Dar Ulum, Lucknow tempat Maulana Abu Hasan `Ali al-Nadwi. Deoband agak begitu traditional tetapi pengajiannya patut disanjungi. Al-Syeikh Rasyid Redha pernah menziarahi Dar Ulum Deoband dan memujinya. Dar Ulum, Deoband berjasa dalam memerangi golongan khurafat dan bid`ah terutama golongan penyembah kubur. Untuk menghadapi dakwah ulama Deoband maka ahli bid`ah dan khurafat di India menyatakan mereka berada atas sunnah dan menuduh para ulama Deoband sebagai wahhabi, walaupun Dar `Ulum Deoband itu kuat bermazhab Hanafi tetapi al-Syeikh Muhammad bin `Abd Wahab seorang yang bermazhab Hanbali. Tujuannya hanya untuk mempertahankan khurafat dan bid`ah mereka.

Menurut hemat beliau juga, para ulama India samada di Deoband atau Lucknow terutama Maulana Abu al-Hasan `Ali al-Nadwi r.h., banyak memuji dan mengambil manfaat daripada Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Abu al-Hasan al-Nadwi sendiri mengarang kisah kehebatan dakwah Ibn Taimiyyah. Tokoh-tokoh ulama timur tengah seperti Dr. Yusuf al-Qaradawi pun begitu. Dalam buku Kaif nata`amul ma`a al-Sunnah, al-Qaradawi menyatakan Ibn Taimiyyah adalah tokoh ulama yang paling dikaguminya dan paling dekat dengan akalnya. Demikianlah sesiapa yang membaca karya dan perjuangan Ibn Taimiyyah pasti akan mengkaguminya. Malangnya ada di negara mereka yang hidup untuk memusuhi Ibn Taimiyyah dan menfitnahnya.

Begitulah pengalaman hidup beliau di perantauan orang. Banyak perkara yang diketahui beliau berkenaan dengan India setelah hampir 3 tahun berada di sana. Pengalaman beliau di institusi sekaligus memberikan suatu pengalaman yang sama hidup beliau di India. Masyarakat India yang masih hidup dalam kemisikinan bukan jaminan  negara tersebut tidak mempunyai perkembangan dari segi ilmu agamanya.


Pengalaman Setelah Tamat Pengajian

Selepas menghabiskan pengajian perantauan bermula daripada India ke Mekah dan Mesir, beliau kembali ke tanah air pada tahun 1976. Berbekalkan kelulusan yang ada, beliau mula berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Kelana, Negeri Sembilan. Beliau mengajar di sana selama 2 tahun dalam mata pelajaran pendidikan islam. Beliau terkenal sebagai seorang ustaz yang mempunyai ilmu yang tinggi dan kepakaran beliau dalam bidang hadis menjadikan beliau tempat rujukan jika wujud kekeliruan dalam hukum hakam agama. Di sekolah tersebut juga, beliau menjadi guru penasihat pelajar selama setahun.

            Setelah 2 tahun berkhidmat di sekolah tersebut, beliau telah ditawarkan untuk bekerja di pusat islam selama 18 tahun. Beliau telah memegang jawatan penolong pengarah di pusat islam. Dalam masa yang sama juga, beliau pernah menjadi imam masjid negara di Kuala Lumpur. Ilmu agama yang ada dalam diri beliau menjadikannya seorang yang terkenal dan menjadi tempat rujukan dalam hal-hal yang berkaitan dengan agama. Kini, beliau telah pencen dan tetap meneruskan perjuangan dakwahnya dalam salah satu rancangan siaran televisyen pada setiap hari rabu di Radio Televisyen Malaysia (RTM).


Refleksi dan cadangan

Refleksi yang kami dapat melalui tugasan ini ialah kami dapat mengetahui perkembangan Islam di negara India dan kesannya terhadap penduduk India.  Selain itu, sistem pendidikan di India tidak mengkhususkan kepada kelayakan semata-mata, tetapi lebih kepada niat sebenar pelajar tersebut sama ada ikhlas atau tidak dalam menuntut ilmu agama. Dengan itu, ia memberi kesan kepada kami bahawa, keikhlasan dan kesungguhan adalah penting dalam menuntut ilmu kerana ia melibatkan ilmu agama iaitu melibatakan ilmu dunia dan akhirat. Setiap manusia mempunyai pengalaman sama ada pengalaman tersebut adalah penglaman pahit atau manis semasa menuntut ilmu dan responden dalam tugasan kami turut mengalami nasib yang sama. Beliau dapat menyaksikan sendiri kehidupan masyarakat India yang hidup dalam kemiskinan, tempat yang kotor dan hidup dalam sistem kasta yang mencengkam hidup mereka. Dengan ini, sebagai pelajar, kami bersyukur dapat hidup dengan aman, bersih dan bersatu padu di Malaysia berbanding  pelajar di India yang terpaksa menghadapi cabaran-cabaran yang menghalang mereka dari meneruskan pelajaran.

            Pengalaman semasa membuat tugasan ini pula, kami berhubung dengan Ustaz Halim melalui isteri beliau yang menggunakan ‘Facebook’ dan kami telah menghantar soalan-soalan yang perlu dijawab oleh beliau. Seterusnya, kami ingin bertemu dengan Ustaz Halim untuk menemu ramah beliau, namun begitu kekangan masa telah menghalang pertemuan kami. Dengan itu, kami menggunakan kemudahan yang sedia ada untuk mendapatkan maklumat yang terperinci melalui beliau iaitu melalui telefon dan rakaman. Oleh yang demikian, ia memudahkan kami menghubungi Ustaz Halim.

            Cadangan untuk tugasan ini ialah kami sebagai pelajar dalam bidang pengajian Islam mencadangkan agar kajian untuk jaringan di masa akan datang tidak hanya tertumpu kepada satu negara sahaja. Kajian di negara-negara lain juga perlu dilakukan bagi mendapatkan perbazaan perkembangan pengajian Islam di negara-negara berkaitan dan mendapatkan maklumat tambahan dengan ilmu-ilmu agama di negara-negara yang berlainan.


Universiti Darul Ulum Nadwatul Ulama Lacknow

Latar Belakang Responden  

Nama beliau ialah Dr. Sayuthy bin Abdul Manas. Sekarang beliau berumur 49 tahun. Dr Sayuthy telah bertemu jodoh dengan isteri beliau  Maiyasah binti Haji Mohd Arid pada tahun 1988. Beliau telah dikurniakan cahaya mata seramai lima cahaya maya tiga lelaki dan dua perempuan. Beliau sekarang telah bekerja di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai pensyarah di Jabatan Quran dan Sunnah. Beliau sekarang bertugas di Fakulti Islam dan Sains Kemanusiaan. Beliau pernah mendapat pendidikan awal di salah sebuah sekolah agama di Perak iaitu Maahad Yahyawiyah Padang Rengas Perak.
 
Selepas itu, beliau mendapat tawaran untuk menyambung pelajaran di salah sebuah universiti di India iaitu Universiti Darul Ulum Nadwatul Ulama Lacknow pada tahun 1989. Jurusan yang beliau ambil di universiti tersebut ialah pengajian Islam dalam bidang hadith. Selepas beliau mendapat ijazah di Universiti Darul Ulum Nadwatul Ulama Lacknow, beliau meneruskan pengajian dalam bidang master di UniversitI Al-Azhar, Mesir. Pengajian beliau di UniversitI Al-Azhar, beliau mengambil jurusan dalam bidang Usuluddin al-Hadith.

Penceritaan yang diceritakan  oleh responden tentang institusi tersebut sangatlah memberangsangkan kerana mungkin pengalaman yang dialami oleh beliau masih tidak dapat dilupakan lagi.


Sistem Pengajian di Universiti Darul Ulum Nadwatul Ulama Lacknow

Universiti Darul Ulum Nadwatul Ulama Lacknow merupakan antara salah satu unversiti yang terawal diwujudkan di Negara India. Sistem pendidikan yang digunakan di universiti tersebut terbahagi kepada tiga bahagian iaitu yang pertama sistem pendidikan yang berteraskan moden, yang kedua sistem pendidikan yang berteraskan tradisional dan yang terakhir ialah sistem pendidikan yang berteraskan pencampuran daripada kedua-dua sistem yang pertama dan kedua. Ketiga-tiga sistem pendidikan yang di amalkan di universiti tersebut adalah hasil daripada penceritaan responden kepada kami.

Setiap sistem pendidikan yang diamalkan di universiti tersebut mempunyai latar belakang yang berbeza. Hal in adalah kerana sistem pendidikan yang berteraskan moden di Universiti  Darul Ulum Nadwatul Ulama Lacknow adalah berlatar belakangkan sistem pendidikan yang diamalkan di barat. Namun begitu, universiti ini telah mengolah kembali sistem pendidikan moden yang di ambil dari barat dan mengikut kesesuaian yang bersesuaian dengan pendidikan di Universiti Darul Ulum Nadwatul Ulama Lacknow.   

Sistem pendidikan yang diamalkan berteraskan moden ini telah dipelapori oleh seorang tokoh yang hebat yang mana tokoh ini berkelulusan daripada pengajian di barat dan membawa sistem pengajian barat ke India dan mengembangkannya sehingga meresap ke dalam sistem pendidikan yang sedia ada di negara tersebut. Tokoh tersebut dikenali sebagai Sir Syed Ahmad Khan. Sir Syed Ahmad Khan inilah seorang pembawa perubahan sistem pendidikan yang ada di negara India kepada sistem pendidikan moden yang berteraskan kepada sistem pendidikan di barat.

Sir Syed Ahmad Khan ini dilahirkan pada tahun 1817. Beliau merupakan seorang pendidik dan juga seorang ahli politik yang berpengaruh di India. Beliau membawa sistem pendidikan di India mengikut acuan sistem pendidikan barat dan mengolah sistem tersebut mengikut kesesuaian sistem pendidikan di India dan sistem yang diperkenalkan oleh beliau dikenali sebagai sistem pendidikan yang berteraskan moden di India. Daripada sistem inilah, kerajaan India telah menerima pakai sistem tersebut sehingga ke hari ini.

Manakala bagi sistem pendidikan tradisional yang diamalkan oleh unversiti ini adalah mengikut sistem pendidikan yang diamalkan pada zaman dahulu. Responden memberikan gambaran kepada kami dengan lebih jelas berkaitan sistem pendidikan tradisional yang diamalkan di universiti tersebut. Sebagai contoh yang diberikan oleh responden, di Malaysia terdapat sistem pendidikan tradisional seperti sekolah pondok. Struktur pondok yang terdapat di Malaysia ini terdapat banyak kekurangan seperti banggunan yang digunakan hanyalah terdapat di kampung-kampung dan juga di pedalaman. Bangunan yang digunakan juga hanya diperbuat daripada kayu dan jarang sekali sistem pondok yang ada di Malaysia terdapat bangunan yang diperbuat daripada batu. Hal ini kerana perbezaan yang sangat ketara jika dibandingkan dengan sistem pendidikan tradisional yang di amalkan di negara India.

Di negara India sendiri, sistem pendidikan tradisional yang di amalkan masih seperti dahulu iaitu masih belajar tanpa menggunakan kerusi meja yang selesa, akan tetapi mereka hanya belajar dengan duduk di bawah sahaja. Perbezaan yang amat ketara jika ingin di bandingkan dengan negara Malaysia iaitu berkaitan dengan infrastruktur yang sedia ada. Di negara India, sistem pendidikan tradisional ini boleh dikatakan sebagai kolej jika ingin disama tarafkan dengan sistem pendidikan di Malaysia. Hal ini kerana, walaupun hanya sekadar sistem pendidikan tradisional, akan tetapi masih lagi mementingkan aspek keselesaan dan juga keselamatan dalam sesebuah institusi yang mengamalkan sistem pendidikan tradisional ini. Pembelajaran yang digunakan juga sangat mendalam jika dibandingkan dengan sistem tradisional yang digunakan di Malaysia.

Di Malaysia, jika diperkatakan sistem pengajian pondok, kebanyakannya hanya mengamalkan pembelajaran yang dipanggil sebagai ‘buku kuning,’  dan, ‘kitab tua’. Akan tetapi jika di negara India, mereka meneruskan pembelajaran dengan kitab-kitab lama yang berkaitan dengan hadith yang mana kitab-kitab lama tersebut berasal daripada negara Arab dan diperbaharui dalam berjilid-jilid banyaknya.

Perbezaannya lagi, sistem pendidikan tradisional di Malaysia, tidak ada sistem peperiksaan dan juga kurang teratur jadual pembelajaran mereka. Jika di negara India, walaupun sistem itu hanya tradisional, tetap akan diadakan peperiksaan tahunan untuk menguji tahap seseorang itu dalam pembelajaran. Jika tidak lulus dalam peperiksaan tersebut, pelajar terbabit tidak akan dibenarkan naik ke peringkat seterusnya dan akan ulang semula pada tahun hadapan untuk mengambil semula subjek tersebut. Ini adalah hasil penceritaan yang diceritakan oleh responden kepada kami berkaitan sistem pendidikan tradisional yang diamalkan di negara India.
Berkaitan sistem pendidikan pencampuran pula, berlaku percampuran antara sistem berteraskan moden dan juga sistem berteraskan tradisional iaitu kedua-dua sistem ini bergabung menjadi satu sistem yang berlainan dalam universiti tersebut. Hal ini kerana kebanyakan universiti di India lebih cenderung mengamalkan sistem berteraskan percampuran kerana lebih memudahkan kepada pelajar asing yang datang menuntut di universiti tersebut. Melalui pendidikan yang berteraskan percampuran ini, pembaikan dan juga kelebihan dari sistem pendidikan berteraskan moden dan tradisional di ambil dan di laksanakan dalam satu sistem iaitu sistem pendidikan yang berteraskan percampuran.

            Dengan kelebihan dalam sistem pendidikan berlandaskan percampuran ini, faktor kemudahan kemasukan pelajar asing ke institusi pendidikan di negara India lebih mudah kerana negara India ini terkenal dengan pelbagai ilmu khususnya ilmu perubatan. Terdapat juga ilmu-ilmu  lain yang terkenal sehingga ke seluruh  dunia seperti  bidang ilmu pengajian Islam khususnya dalam bidang ilmu al-Quran dan juga hadith.

siti khadijah abu setaman (d20081033014), Adira Mohamed (d20081033014),Nor Ruzanna Razman (d20081033014)

2 comments: